NOVAK Djokovic kini menyamai rekod 22 gelaran Grand Slam bersama Rafeal Nadal selepas merangkul gelaran kejuaraan Terbuka Australia ke-10 selepas menewaskan Stefanos Tsitsipas.
Kemenangan 6-3, 7-6 (7/4), 7-6 (7/5) ke atas lawan yang merupakan pilihan ketika dari Greece, menyaksikan Djokovic kembali menduduki ranking nombor satu dunia.
Ia adalah kemunculan semula luar biasa bagi pemain pilihan keempat berusia 35 tahun itu, yang terlepas beraksi pada edisi tahun lalu apabila diusir dari Australia kerana tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Selepas penggantungan tiga tahun dari Australia ditarik balik, Djokovic memenangi saingan Adelaide International sebelum mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain hebat sepanjang zaman di Melbourne.
Kemenangan itu menyaksikan berkongsi rekod 22 gelaran Grand Slam bersama Nadal, lebih dua gelaran berbanding Roger Federer.
Djokovic meraikan kemenangan tanpa bapa, Srdjan Djokovic di tempat duduk penonton selepas dia mencetuskan kontroversi apabila bergambar dengan peminat yang membawa bendera Rusia memaparkan wajah Vladimir Putin selepas kemenangan suku akhir anaknya.
Sebaliknya Djokovic pantas memeluk ibunya dan menangis teresak-esak.
“Kami setuju lebih baik jika dia tidak berada di situ, keputusan itu sangat menyakitkan saya dan dia kerana ini adalah detik istimewa, saat unik dan siapa tahu sama ada boleh berulang lagi atau tidak.
“Ia bukan sesuatu yang mudah buatnya. Saya bertemunya selepas perlawanan dan dia bukan berada dalam keadaan terbaik. Dia memeluk saya dengan gembira, tetapi saya boleh rasakan dia agak sedih.
“Apapun, di akhirnya, ia adalah kesudahan yang menggembirakan,” tegasnya.