PEMAIN sayap Ratchaburi FC, Safawi Rasid dikhabarkan mengalami kecederaan serius dalam aksi Liga Thai menentang Lamphun Warriors pada Ahad malam.

Insiden pada babak kedua tersebut meninggalkan impak yang besar kepada pemain berasal dari Terengganu itu dengan menerima terjahan keras daripada Mika Chununosee.

Tindakan tersebut menyebabkan pemain tersebut dilayangkan kad merah serta-merta namun perkhabaran kurang baik melanda kem Ratchaburi.

Ekoran terjahan keras dari Mika, Safawi dilihat mengerang kesakitan dan terpaksa dikeluarkan dengan segera oleh jurulatih yang membawa masuk Sittichok Kannoo pada minit ke-56.

Dalam aksi tersebut, perlawanan berlangsung panas dengan beberapa layangan kad merah yang dilayangkan ekoran permainan agresif ditampilkan kedua-dua pasukan.

Perlawanan antara Ratchaburi dengan Lamphun Warriors berakhir dengan keputusan 1-1 menyaksikan masing-masing berkongsi satu mata.

Rekod paling cemerlang Safawi adalah ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila berjaya menjaringkan 27 gol dalam 86 perlawanan sejak bersama pasukan pada 2017.