PERTAHANAN Selangor FC, V. Ruventhiran ingin meneruskan momentum konsistennya ketika beraksi bersama skuad kebangsaan untuk dibawa ke dalam pasukan Selangor FC menjelang sepak mula liga Februari ini.
Pemain berusia 21 tahun itu turut berhasrat memberikan sesuatu yang istimewa buat penyokong Gergasi Merah yang disifatkannya saling tidak tumpah seperti penyokong Harimau Malaya.
“Saya hendak momentum konsistensi dari Piala AFF dibawa sehingga bermula Liga Malaysia. Saya tidak mahu momentum itu jatuh dan harus bermula dari bawah. Saya memburu posisi di Selangor.
“Saya hendak tunjukkan kepada penyokong Selangor sesuatu kerana penyokong Harimau Malaya dan penyokong Selangor macam sama. Mereka cukup bersemangat,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Dalam pada itu, pemain tonggak Harimau Malaya itu mengakui tidak kekok dengan suasana di Selangor kerana sudah mengenali hampir majoriti pemain skuad Selangor FC.
“Pemain di Selangor kebanyakannya saya sudah kenal apabila saya pergi panggilan skuad kebangsaan bawah 23 tahun.
“Mereka pun ada follow up dengan saya. Jadi saya tidak rasa ia sesuatu yang baru bagi saya. Hanya dua atau tiga pemain di Selangor termasuk import yang saya tidak kenal, tetapi cara mereka menerima kehadiran saya sangat menyenangkan,” jelasnya.
Mengulas tentang perubahan waktu permainan yang diubah kepada waktu petang menjelang aksi liga, dia tidak memandang perkara tersebut sebagai masalah kerana sudah lali dengan latihan dan beberapa kejohanan yang turut diadakan pada waktu petang sebelum ini.
“Bermain waktu petang itu bukan masalah bagi saya. Sebab Piala Belia dan Piala Presiden juga kita main petang juga. Jadi, ia tidak ada masalah besar kerana kita juga berlatih pada waktu petang. Malaysia cuaca 5.30 dah okay dah bukan panas sangat pun,” ujarnya.