SELEPAS tiga musim, pasukan Castrol Power 1 Honda Team membuat perubahan besar apabila melangkah ke kelas CP125 bagi menghadapi saingan Kejuaraan Petronas Malaysia Cub Prix musim 2023.

Pasukan yang dikendalikan oleh Shahrol Yuzy Ahmad Zaini ini mula ditubuhkan pada tahun 2020 dan beraksi dalam kelas Wira KBS dengan misi untuk mencungkil pelumba pelapis yang berpotensi.

Antara pencapaian terbaik pasukan apabila muncul pemenang ketiga keseluruhan pada tahun 2021 melalui Md Harith Haziq Zamri manakala Ahmad Darwisy Ahmad Sahir menjadi pelumba terbaik pasukan pada musim lepas dengan menduduki kedudukan ke-11 keseluruhan.

Menjelaskan tentang peralihan kategori pada musim ini, Shahrol Yuzy menjelaskan ia selari dengan hasrat pasukan untuk mempersiapkan pelumba-pelumba bagi menghadapi perlumbaan yang lebih mencabar.

“Selepas tiga musim, saya fikir ini adalah masa terbaik untuk kami beralih ke kelas lebih tinggi dan dengan pengalaman serta persediaan pengurusan pasukan dan pelumba sendiri, kami yakin dapat cepat menyesuaikan diri dengan kelas baharu ini.

“Saya berterima kasih kepada Castrol Power 1 dan barisan penaja lain kerana terus memberi kepercayaan kepada pengurusan pasukan untuk menghadapi saingan di peringkat kebngsaan ini yang semakin hari semakin mencabar dan sengit,” ujar Shahrol Yuzy.

Pelumba musim 2022, Ahmad Darwisy dan Md Loqman Nur Hakim Wazi terus kekal membawa cabaran dalam kategori CP125 pada musim ini manakala kemasukan pelumba muda berpengalaman, Md Haziq Md Hamdan ke dalam pasukan  diharap dapat membantu pasukan untuk memberikan saingan di kelompok hadapan.

Tambah Shahrol Yuzy, dia optimis kehadiran Md Haziq ke dalam pasukan dapat membantu pasukan dan juga dua lagi pelumba muda untuk mencapai keputusan yang memberangsangkan pada musim pertama kami dalam kategori CP125 ini.