PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin terus mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan selepas dipilih antara lima Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mewakili Asia, untuk penggal 2023-2027.

Hamidin dipilih untuk mengisi jawatan itu semasa kongres Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-33 yang diadakan di Manama, Bahrain pada Rabu.

Untuk rekod, Hamidin merupakan rakyat Malaysia keempat yang dilantik selepas Naib Presiden FAM, Lee Kee Siong menjadi individu pertama pada tahun 1960 disusuli Tan Sri Hamzah Abu Samah yang menang tanpa tanding di Kongres AFC untuk jawatan tersebut pada tahun 1972 selepas dua calon lain menarik diri dan terbaharu selepas itu adalah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memenangi kerusi tersebut pada Kongres AFC di Bahrain pada 2015.

Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa mengekalkan jawatan tertinggi berkenaan tanpa bertanding bagi tempoh empat tahun lagi.