LIVERPOOL berjaya menjulang trofi Piala FA buat kali ke-8 selepas menewaskan Chelsea dalam penentuan sepakan penalti 6-5 dalam aksi akhir yang berlangsung di Stadium Wembley awal pagi Ahad.

Ia merupakan tofi kedua The Reds musim ini selepas Piala Carabao dan masih berpeluang untuk menjulang trofi EPL dan Liga Juara-Juara. 

Kostas Tsimikas menjadi wira pasukan setelah ketenangannya menghadiahkan gol keenam menerusi penentuan sepakan penalti menyaksikan The Reds unggul meraikan kejayaan pasukan. 

Sebelum itu, perlawanan berlangsung sengit sepanjang tempoh 120 minit, sehingga terpaksa mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti. 

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tetap memuji persembahan pasukan Chelsea namun akui akhirnya mesti hanya ada seorang sahaja pemenang dalam perlawanan akhir. 

“Chelsea bermain dengan cemerlang tetapi akhirnya mesti ada seorang pemenang dan itu adalah kami hari ini, ” ujarnya. 

Pemain Chelsea. Mason Mount kelihatan kecewa selepas tendangan penaltinya gagal disempurnakan.

Sementara itu, pengendali Chelsea,  Thomas Tuchel tetap berbangga dengan kesungguhan yang  dipamerkan   pemainnya kerana berjaya mengikat lawannya tanpa jaringan  yang  memiliki penyerang terbaik dunia meskipun terpaksa akur tewas pada penentuan sepakan penalti. 

“Seperti pada perlawanan akhir sebelum ini dalam Piala Carabao, tiada penyesalan.

“Saya memberitahu pasukan saya bahawa saya tetap berbangga.

“Kami bermain 240 minit dalam perlawanan akhir menentang pasukan penyerang paling berbahaya di dunia dan ia 0-0,” katanya kepada BBC.