PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp enggan menjawab sebarang soalan dari seorang wartawan dengan mengatakan dia tidak berpuas hati dengan liputan yang dibuat wartawan tersebut kepada kelab Liverpool.
Liverpool terus dilanda mimpi ngeri setelah kekalahan mengejut 3-0 kepada Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu malam.
Ketika ditanya tentang oleh wartawan The Atheltic, Klopp enggan mengulas panjang sambil menyifatkan dia tidak merasakan perlu untuk memberi sebarang komen.
“Sangat sukar untuk bercakap kepada anda sekiranya saya 100 peratus jujur. Saya memilih untuk tidak menjawab soalan tersebut.
“Sekiranya soalan tersebut daripada anda, saya akan mengelak untuk menjawab, tetapi jika dari wartawan lain saya terbuka.
“Saya tidak gemar cara anda menulis tentang kelab kami. Oleh sebab itu, saya tidak akan melayan sebarang soalan dari anda,” tegas Klopp.
Klopp memberi reaksi tersebut kerana tidak gemar dengan laporan James Pearce dan mengambil keputusan untuk tidak menjawab soalan darinya.
Dalam aksi Sabtu malam, Liverpool tunduk 3-0 kepada Wolves menyaksikan pasukan tersebut hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan dalam lima perlawanan setakat ini.