SEBASTIEN Haller menjaringkan gol pertamanya sejak pulih daripada kanser testis ketika Borussia Dortmund membelasah Freiburg, 5-1.
Bekas penyerang West Ham itu, yang kembali beraksi tiga minggu lalu, menjaringkan gol ketiga menerusi tandukan pada minit ke-51 untuk melebarkan perbezaan gol.
Haller telah didiagnosis beberapa hari selepas menandatangani untuk Dortmund sebagai pengganti Erling Haaland, dan memerlukan dua pembedahan.
Pemain berusia 28 tahun itu telah menjalani empat pusingan kemoterapi, dan pembedahan pada bulan November lalu.
“Saya telah menunggu detik ini sejak hari pertama. Apabila saya menjaringkan gol, rasanya seluruh stadium terbakar.
“Saya gembira, tetapi perjalanan masih jauh, jadi kami akan terus berjalan dan berharap untuk lebih banyak gol,” kata Haller.
Haller kembali ke padang pada 22 Januari lalu dalam kemenangan liga 4-3 di tempat sendiri ke atas Augsburg, sebelum membuat permulaan pertamanya di Dortmund menentang Bayer Leverkusen seminggu kemudian.
Dortmund melakar kemenangan ke atas Freiburg, yang menyebabkan Kiliann Sidillia dibuang padang selepas 17 minit.
Nico Schlotterbeck, Karim Adeyemi, Julian Brandt dan Gio Reyna menjadi penjaring untuk Dortmund, serta Haller, ketika mereka naik ke tempat ketiga dalam Bundesliga, dua mata di belakang pendahulu Union Berlin.