PENYERANG Perak FC, Hadi Fayyadh Abdul Razak yakin pasukannya mampu menjadi salah satu pencabar dalam saingan Liga Malaysia musim ini melihatkan kemampuan barisan kejurulatihan dan pemain yang ada.

Keyakinan ini juga bersandarkan  perkara positif yang sedang berlaku dalam pasukan selain beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

“Saya percaya dengan jurulatih dan pemain, kita sudah nampak perkara positif cuma ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki.

“Kalah sekali tidak semestinya kalah lagi selepas ini, saya dan pemain lain akan lakukan terbaik untuk menampilkan persembahan yang baik dan jadi pencabar dalam liga,” tegasnya.

Hadi mengakui belum berpuas hati dengan persembahannya ketika ini.

Tambahnya lagi, dia masih belum berpuas hati dengan persembahan dan mengharapkan segera menemui sentuhan gol.

“Kami ada masa sebelum berlawan dengan Kedah selepas ini, saya harap kami dapat lakukan persediaan dengan baik dan tingkatkan keserasian.

“Saya dapat rasakan ada keserasian dengan Christian Obiozor dan saya percaya persefahaman kami akan lebih baik perlawanan demi perlawanan,” jelasnya.

Hadi melebarkan karier bola sepaknya selepas ditawarkan kontrak untuk bersama Fagiano Okayama pada Disember 2018.

Dia kemudiannya dipinjamkan ke kelab saingan J League 3, Azul Claro Numazu untuk mendapatkan minit permainan.

Susulan dengan itu, Hadi menjadi pemain Malaysia pertama beraksi dalam kempen J League apabila diturunkan oleh Azul Claro Numazu sebagai pemain gantian pada minit ke-84 ketika bertemu  Vanraure Hachinohe yang menyaksikan mereka mencatatkan kemenangan 2-0.

Hadi turut diberikan peluang beraksi selama 30 minit dalam singan liga ketika pertemuan menentang Yokohama SCC dan kemudiannya masuk lewar permainan  sewaktu aksi dengan Kataller Toyama.

Perak ketika ini dilihat menyandarkan harapan di jentera serangan kepada pemain import kelahiran Nigeria, Christian Obiozor dan bakat muda, Muhd Alif Zikri Zaini Anuar untuk merobek gawang pasukan lawan dalam kempen Liga Super 2023.