KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya susulan kekalahan kepada pasukan underdog, Penang FC dalam perlawanan akhir Piala Harapan, Sabtu malam.
Jelasnya, anak buahnya masih belum dapat menemui rentak sebenar dan belum mendapat keserasian sepenuhnya dalam aksi malam tadi.
Punca kekalahan pasukan Gergasi Merah dikatakan berikutan kesilapan individu yang agak leka setelah Selangor FC berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan cantik Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-25.
“Secara keseluruhan kita masih lagi di peringkat persiapan pramusim tapi sudah pasti saya berasa sedikit kecewa di separuh masa kedua kita dibolosi dua gol yang berikutan kesilapan individu menyebabkan Penang berjaya menjaringkan dua gol.
Sudah pasti kita akan perbaiki dari semasa ke semasa dan kembali dengan corak permainan kita semula,” kata Tan Cheng Hoe.
Menurutnya, dia telah memberi pendedahan penting dengan menurunkan semua pemain untuk beraksi menentang Penang FC bagi mendapatkan sentuhan masing-masing.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Alor Setar, Kedah itu enggan menoleh ke belakang lagi sebaliknya kembali fokus menjelang beberapa aksi persahabatan di Bangkok.
“Yang penting ketika ini adalah untuk kita kembali dengan permainan kami dan pada masa sama mencari solusi dan ramuan terbaik untuk kita dapat kesebelasan utama kerana pada kejohanan Piala Harapan ini saya telah bagi peluang kepada semua pemain untuk beraksi dan pada masa sama menilai untuk aksi di Bangkok nanti,” jelasnya.
Selangor FC akan berlepas ke Thailand selepas ini kerana telah mengatur tiga perlawanan menentang kelab besar di Thai League 1 sebagai persiapan menantikan aksi liga yang bakal bermula tidak lama lagi.