PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC memulakan langkah perjalanan ke Turkiye melalui penerbangan 5 petang pada petang Ahad dari Alor Setar.
Benua Eropah menjadi pilihan pasukan yang dimiliki Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar itu dengan harapan ia memberikan inspirasi dan suntikan baharu kepada Sang Kenari semasa pramusim di Antalya hingga 15 Februari ini.
Kem Sang Kenari juga tidak berseorangan apabila kehadiran penyokong KDA FC di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Halim memberi aura positif dan semangat buat pasukan beraksi di Eropah dan kelab pertama seumpamanya mengadakan siri perlawanan persahabatan di Eropah.
“Doakan jelajah pramusim 2023 di Antalya, Turkiye berjalan lancar. Sejurus sampai di Subang pasukan bergegas menuju KLIA untuk meneruskan penerbangan ke Turkiye melalui Turkish Airlines jam 11 malam ini.
“Pelepasan pasukan akan di sambut oleh Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dan pengurusan kelab serta para peminat bermula jam 9 malam ini di pintu pelepasan antarabangsa KLIA.
“Antalya, kami mai! ,” menurut kenyataan KDA FC.
Kedah akan memulakan aksi Jelajah Turkiye musim ini dengan menentang kelab FC Nasaf dari Uzbekistan di Ekodizayn 1 pada 9 Februari ini dan diikuti kelab dari Kazakhstan iaitu FC Shakhter Karagandy di Limak Sports Center pada 10 Februari.
Sementara dua lagi aksi, membabitkan kelab FK Maktaaral dari Kazakhstan di Limak Sports Center dan kelab dari Ukraine iaitu FC Metalist Kharkiv di Ekodizayn 1 masing-masing pada 12 dan 14 Februari.
ARTIKEL BERKAITAN : KDA FC ‘asah taji’ jumpa empat kelab besar di Antalya, Turkiye jelajah pramusim 2023