WARISAN seni ilmu persilatan perlu dipertahan serta diturunkan kepada generasi baharu supaya seni ini tidak hilang ditelan zaman.
Guru Silat Banten Betawi, Rosli Abdullah berkata, untuk memastikan seni persilatan kekal utuh menjadi tanggungjawabnya memastikan kesinambungan dengan sebaiknya dan tidak terhenti begitu sahaja.
Seramai 12 pelatih termasuk empat perempuan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Balai dan SK Sungai Tiang Darat selesai menamatkan Latihan Seni Silat Banten Betawi selama tiga bulan di Kampung Sungai Nipah Darat, Bagan Datuk pada Ahad malam.
Hadir sama, Guru Besar SK Sungai Balai, Nadiah Mahmud, ibu bapa peserta dan penduduk kampung.
“Alhamdulillah, anak-anak ini senang dibentuk dan sentiasa menuruti arahan dari jurulatih. Saya percaya pelatih ini boleh berjaya di masa depan namun perlu lagi berguru dan mencari ilmu di luar sana.
“Insya Allah, saya merancang mengadakan sesi latihan kepada peserta baharu dalam masa terdekat di sekitar Rungkup, Bagan Datuk,” katanya yang merupakan Olahragawan Perak dalam sukan silat pada tahun 1982, 1986 dan 1989.
Dia mewakili Perak di pertandingan kebangsaan yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada zaman kegemilangan.
Ujarnya yang kini bergelar usahawan mengakui ada menerima tawaran melatih anak muda Silat Banten di Seberang Perak, namun buat masa ingin fokus kepada terlebih dahulu di kawasan Bagan Datuk.
Sementara itu, Nadiah menilai kegiatan silat ini dapat memupuk jati diri khusus kepada murid sekolah menjadi semakin bagus dan berkembang sihat.
“Nampak perubahan sifat positif daripada sikap pasif kepada aktif. Aktiviti ini tetap dinilai untuk pemarkahan korikulum Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK).
“Tahniah kepada para peserta yang mengambil bahagian,” katanya.