GANDINGAN beregu sensasi negara, Thinaah Muralitharan mengakui mindset yang positif sangat diperlukan sesebuah gandingan dalam apa jua sukan termasuk badminton.
Jika pemikiran seseorang itu terganggu, ia akan menjadi momen sukar bagi pemain meneruskan momentum permainan dan mencatat kemenangan.
“Saya rasa ia adalah lebih kepada mindset. Mentaliti kami, apabila kami hilang keyakinan, segala-galanya akan menjadi sukar. Kita harus pertingkatkan perkara tersebut,” ulas Thinaah.
Sementara itu, Pearly Tan pula menyatakan keserasian pemain di luar gelanggang turut menjadi faktor penting bagi membantu setiap pasangan meningkatkan prestasi masing- masing.
Baginya perselisihan faham adalah perkara biasa, namun komunikasi antara kedua-dua pemain merupakan aset terpenting bagi meneruskan kecemerlangan sesebuah pasangan itu.
“Saya rasa dalam beregu memang kita perlu rapat antara satu sama lain dan tahu apa yang difikirkan. Persahabatan di luar gelanggang sangat membantu kita untuk terus konsisten.
“Bukan nak kata tak bersetuju. Kadangkala kita harus lihat perkara yang hendak dikatakan agar tidak menyinggung perasaan rakan.
“Kalau ada masalah perkara itu memang akan menggangu. Jadi, kita akan berkongsi masalah bersama dan cuba menyelesaikannya sebaik mungkin,” ujar Pearly.
Biarpun berada dalam ranking kelompok lima terbaik dunia, Pearly masih belum berasa puas sebaliknya berazam berusaha lebih keras bagi menjadi pemain yang lebih baik dari masa ke semasa.
“Saya sangat gembira tetapi masih tidak berpuas hati. Kita akan cuba perbaiki rentak permainan kami dan berusaha keras ke arah menjadi pemain yang lebih baik,” tambahnya lagi.
Selepas ini, gandingan beregu tersebut akan menyertai Kejohanan Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai pada 14-19 Februari.
Dalam kejohanan dwitahunan edisi ketiga itu, Malaysia diundi bersama India, Kazakhstan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dalam Kumpulan B.