ANTARA calon penyerang import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ebenezer Assifuah mendedahkan dia pernah menolak tawaran kontrak £10 juta pound (RM51 juta) daripada kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Penyerang berusia 29 tahun itu turut bersaing dengan pemain bintang, Paul Pogba dan Samuel Umtiti yang memiliki perjalanan karier lebih baik darinya.
Biarpun pemain Ghana itu pernah dinobatkan sebagai pemenang kasut emas Piala Dunia, dia mengakui sedih kerana gagal mengikut jejak langkah Samuel Umtiti dan Paul Pogba.
“Saya rasa sedih bila melihat pemain seperti Pogba, Umtiti dan yang lain-lain. Ini kerana kami beraksi di atas satu pentas yang sama.
“Bezanya adalah negara mereka sedar kemampuan pemain dan melatih mereka untuk menjadi lebih baik. Malah, kesemuanya masih bermain hingga kini.
“Bagi kami pula, saat kami gagal memenangi kejohanan itu, semuanya sudah tertutup,” katanya.
Pada awal bulan lalu, Assifuah ini dilaporkan akan menyertai KDA FC bagi mengharungi Liga Malaysia musim 2023 tetapi difahamkan tiada kontrak ditawarkan kepada pemain tersebut.
Berikutan prestasi cemerlangnya bersama skuad muda Ghana, Assifuah mengakui dia pernah ditawarkan tiga kelab UAE pada 2017 bernilai RM51 juta tetapi memilih untuk kekal di Eropah bersama kelab Perancis, Pau FC.