CALON pengganti Mohd Manshahar Abdul Jalil yang bersara wajib, sudah ada namun hanya akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Difahamkan, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sudah mencapai kata sepakat berhubung calon pengganti tempat ketua jurulatih olahraga  kebangsaan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Wira Mark Ling berkata, hal itu akan diumumkan selewat-lewatnya hujung bulan ini sebaik mendapat ’lampu hijau’ daripada MSN.

“KOM dan MSN sudah mengadakan perbincangan mengenai calon-calon yang berpotensi bagi jawatan selaku ketua jurulatih dan juga barisan jurulatih yang lain. Menerusi perbincangan itu kami bersetuju dengan seorang calon untuk mengetuai barisan kejurulatihan yang baharu.

“Kontrak mereka semua akan dimuktamadkan dalam bulan ini juga. Saya berharap ia boleh diselesaikan sebelum hujung bulan ini untuk kita mempersiapkan atlet menghadapi beberapa kejohanan dan temasya sukan utama tahun ini,” katanya.

 Aksi atlet lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi pada Suka SEA Vietnam 2021, di Stadium Nasional My Dinh, tahun lepas.

Manshahar memikul tanggungjawab selaku ketua jurulatih selama tiga tahun setengah selepas mengambil alih tugas Zainal Abbas yang meletak jawatan pada Julai 2019.

Antara legasi ditinggalkan Mansahar adalah menjadi individu yang bertanggungjawab membimbing bekas ratu lompat bergalah negara, Roslinda Samsu yang berjaya meraih pelbagai kejayaan ketika kerjayanya termasuklah memenangi pingat emas Sukan SEA sebanyak kali berturut-turut bermula 2005 hingga 2011 selain perak Sukan Asia Doha 2006 dan turut beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008

Selain itu, Manshahar juga menjadi watak penting terhadap kejayaan Nur Sarah Adi untuk beraksi sebagai bidan terjun dalam acara lompat bergalah sehingga membutirkan pingat emas ketika Sukan SEA Hanoi tahun lalu dengan melakukan lompatan setinggi empat meter.