JURULATIH Sarawak United FC, B. Sathiananthan mengakui sudah jangka akan tumpas kepada JDT dan menerima kekalahan yang dialami apabila tersingkir daripada saingan Piala FA musim ini.
Sarawak United tewas 0-3 kepada JDT dalam aksi Pusingan Kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim tetapi berjaya mengelak kekalahan lebih besar seperti ketika perlawanan Liga Super Mac lalu.
“Saya bukan jenis jurulatih yang suka bercerita yang kami mampu mengimbangi kekuatan JDT atau menyaingi kehebatan pasukan itu. Ini adalah realiti kami menentang pasukan yang beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan sudah tentu agak sukar untuk menang.
“Ini adalah pembelajaran bagi kami, nilai sendiri bagaimana pemain JDT mengawal bola dan mengumpan bola dengan efektif. Itulah kualiti yang ada kepada JDT malah saya berharap dalam pasukan Sarawak akan ada pemain berkualiti.
“Ada yang tanya kepada saya kenapa tidak beraksi dengan corak menyerang tetapi bagi saya jika bermain sebegitu ibarat membunuh diri,” jelasnya selepas perlawanan.
Setelah tersingkir dari Piala FA, kini Sarawak United boleh memberikan fokus kepada saingan Liga Super dengan sasaran menjarakkan diri dari zon relegasi.