AMATEUR Football League, (AFL), pengelola Liga M3 kini mendapat tajaan dalam pelbagai bentuk sehingga mampu memberikan jersi secara percuma kepada 10 pasukan yang bertanding.

Perkara ini adalah inisiatif yang dilakukan oleh AFL musim 2023 yang memandang serius kedudukan kewangan pasukan yang sering menjadi masalah kepada beberapa kelab dalam musim sebelum ini.

Presiden AFL, Datuk Wira Yusof Mahadi berkata mereka telah melakukan perbincangan dengan pengeluar jersi dan mereka bersetuju untuk menaja jersi sekaligus dapat mengurangkan kos kepada pasukan yang bertanding.

 

Dalam masa yang sama, pihak AFL juga menasihati pasukan supaya berbelanja mengikat kemampuan dan tidak membenarkan pengambilan pemain import sebagai langkah melindungi pasukan daripada menghalang masalah pembayaran gaji.

“Banyak pasukan yang perlu membeli jersi dan kami telah berbincang dengan pengeluar jersi dan satu jenama telah bersetuju untuk menaja jersi dan ini dilihat berjaya mengurangkan kos terutama untuk pasukan yang tidak mempunyai komitmen dengan penaja. Inisiatif dari AFL ini adalah untuk membantu kewangan pasukan yang bertanding.

“AFL juga mahu memberikan nasihat kepada pasukan supaya jangan berbelanja lebih dari kemampuan. Pastikan segala bajet yang diumum adalah berdasarkan duit yang ada dan bukannya melalui perangkaan yang mungkin tidak dapat direalisasikan.

“Atas sebab itu juga AFL tidak menggalakkan pasukan membawa masuk pemain import kerana kami mahu pasukan menjadi lebih matang terlebih dahulu dan memastikan kewangan pasukan lebih kukuh,” katanya ketika ditemui di Majlis Memperkenalkan Penaja Bola Rasmi Liga M3 2023 pada Selasa.

Liga M3 musim ini yang disertai 14 pasukan akan bermula pada 4 Mac 2023 dan akan berhenti seketika pada bulan Ramadan sebelum menyambung aksi sejurus Aidilfitri dengan beberapa pasukan diperkuat oleh bekas pemain kebangsaan dan Liga Super.