FOTO : KDA FC
SELURUH dunia temasuk pertubuhan sukan, liga, kelab dan pemain turut menyuarakan simpati kepada Turkiye susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu yang setakat ini sudah meragut ribuan nyawa manakala hampir 14,000 lagi cedera.
Gempa bumi turut dilaporkan melanda beberapa wilayah di Syria.
Kedah Darul Aman (KDA) FC juga bersama-sama mengucapkan takziah menerusi kenyataan yang dimuat naik pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar.
Menurutnya, KDA FC turut simpati dengan musibah ini dan akan membuat derma dan bantuan kewangan kepada pihak berkuasa di sana.
“Setiap pemain dan pegawai akan bersama-sama menyumbang bersama kelab KDA FC.
“Semoga Allah SWT memberi kesabaran kepada seluruh rakyat Turkiye dan Syria atas kehilangan nyawa ramai ahli keluarga dan sahabat handai mereka tanpa mengira umur.
“Sekarang pasukan Sang Kenari berada di Antayla, Turki yang berjauhan 500 kilometer dengan tempat musibah untuk beberapa siri perlawanan persahabatan.
“Marilah kita sama-sama menyumbang untuk mengurangkan sedikit bebanan keluarga mangsa malapetaka gempa bumi. Tak banyak sedikit.
“Ucapan takziah kepada semua yang kehilangan orang yang disayangi,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Jelajah pramusim 2023 : Perjalanan Sang Kenari ke Turkiye kini bermula
Sementara itu, Sang Kenari akan membuka aksi bertemu juara ‘back to back’ pasukan Liga Super Uzbekistan, Nasaf FC.
Pertembungan yang amat dinantikan dalam siri jelajah pramusim 2023 di Antalya, Turkiye, akan berlangsung di Ecodizayn Sports Center pada Khamis.
Nasaf FC merupakan pasuka juara dua tahun berturut-turut dan dibarisi pemain berkualiti, menjadi medan terbaik untuk Nafuzi Zain menguji anak buahnya.