MERIH Demiral sedang melelong jersi Juventus dengan nama dan tandatangan Cristiano Ronaldo. Wang itu akan digunakan untuk membantu pemulihan Turkiye akibat kesan gempa bumi.

Gempa bumi bermagnitud 7.8 melanda Turkiye pada dengan beribu-ribu bangunan runtuh, hospital dan sekolah musnah serta puluhan ribu orang cedera, di mana setakat ini hampir 5,100 nyawa terkorban.

Pemain pertahanan Atalanta dan pemain pasukan kebangsaan Turkiye itu sangat pilu dengan apa yang berlaku. Dia kemudiannya tergerak untuk mencari dana untuk dapat membantu negaranya.

Demiral mengumumkan melalui media sosial untuk melelong jersi Juventus milik Ronaldo berserta tandatangan. Dia telah bercakap dengan Cristiano Ronaldo mengenai situasi itu.

“Saya baru sahaja bercakap dengan Cristiano. Dia berkata dia sangat sedih dengan apa yang berlaku di Turkiye. Kami melelong jersi yang ditandatangani Ronaldo dalam koleksi peribadi saya. Semua hasil daripada lelongan akan disalurkan ke arah bencana gempa bumi,” tulis Demiral.

Ronaldo dan Demiral menjadi kawan baik semasa bermain bersama di Juve. Kedua-duanya telah meninggalkan Bianconeri, dengan Ronaldo kini di Al-Nassr FC dan Demiral bermain untuk Atalanta.

Pertahanan Sampdoria, Koray Gunter juga meluahkan isi hatinya selepas pasukannya seri 2-2 menentang Monza.

“Hati saya hancur, begitu ramai orang menderita, ramai yang masih terperangkap di bawah runtuhan. Saya hanya boleh katakan bahawa rakyat Turkiye memerlukan bantuan dan doa semua orang,” katanya.