LIGA Hoki Malaysia (LHM) bermula esok (Khamis) dengan dua pasukan pilihan utama, Terengganu Hockey Team (THT) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal membuat percaturan terbaik pada perebutan Piala Sumbangsih.

THT menggunakan khidmat jurulatih dari Korea Selatan, Seo Jongho, kesungguhan THT musim ini lebih menyerlah apabila turut membariskan pakar pukulan sudut penalti Jang Jonghyun selain dua lagi pemain muda Korea Selatan, Choi Hoil dan Yoo Seung Ho.

Jongho mengakui mahukan kejuaraan berganda musim ini (Juara Liga dan Piala TNB) namun enggan melepaskan Piala Sumbangsih yang dimenangi musim lalu.

“Kita tidak nafikan TNB sebuah pasukan yang kuat, tapi kita mahukan kejuaraan berganda dan akan berusaha mendapatkannya, selain mempertahan Piala Sumbangsih,” kata Jongho yang pernah bermain untuk THT dalam LHM musim 2015.

Sementara itu, kapten THT Mohd Fitri Saari berkata, perbezaan ketara pasukan itu tahun ini jika dibandingkan dengan tahun lalu adalah kehadiran pemain import dari Korea Selatan yang diyakini mampu memberi impak ketikamelakukan serangan.

“Yang pasti akan ada impak besar ketika pukulan sudut penalti. Tidak mudah untuk mendapatkan tiga gelaran dan jika dapat dua pun sudah cukup, namun pasukan ini lebih kuat dengan kehadiran pemain import,” kata Fitri.

Selain pemain import, THT turut diperkuat barisan pemain kebangsaan seperti Shello Silverius, Faizal Saari, Marhan Jalil dan penjaga gol, Muhammad Hafizuddin Othman, selain barisan pemain berpengalaman seperti Fitri dan Ismail Abu.

Sementara itu, kapten pasukan TNB, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan mengakui, kemenangan Piala Sumbangsih amat penting dalam menentukan perjalanan seterusnya dalam LHM.

“Kalau tewas pada perlawanan pertama (Piala Sumbangsih), mana-mana pasukan akan sukar untuk memenangi liga kerana jika kita menang perlawanan esok, mudah untuk mengatur sasaran seterusnya,” kata Syafiq.

Bagi pengendali TNB Nor Saiful Zaini Nasiruddin pula, pasukannya bukanlah pasukan pilihan untuk cabaran kali ini.

Trofi Piala Sumbangsih menjadi taruhan pada perlawanan pertama Liga Hoki Malaysia antara THT dan TNB, jam 8.30 malam esok, bertempat di Stadium Hoki NAsional 1, Bukit Jalil.

“THT sebuah pasukan yang seimbang di semua sektor, mereka mempunybai pemain kebangsaan dan berkelas antarabangsa. Mereka memiliki pemian yang boleh membuat keputusan baik dalam situasi tertekan, mereka ada pemain Korea, ada enam pemain kebangsaan, seperti Faizal dan Shello malah Jang (Jonghyun) sendiri pemain berkelas dunia.

“Perlawanan pertama ini penting bagi melonjakkan keyakinan pemain. Jika tidak dapat trofi (Sumbangsih) sekurang-kurangnya kita curi satu mata untuk dibawa dalam perburuan kejuaraan liga,” kata Saiful.

Perlawanan Piala Sumbangsih akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional 1, jam 8.30 malam esok.

Pada tahun lalu, THT menjulang trofi Piala Sumbangsih selepas menang 3-2 ke atas TNB meskipun ketinggalan dua gol.

THT turut muncul juara liga tahun lalu manakala TNB menjuarai trofi Piala TNB.

Selain Piala Sumbangsih, turut berlangsung tiga lagi perlawanan LHM lelaki, membabtikan Nurinsafi Sporting menentang UiTM HA-KPT di Bertam, Pulau Pinang (8 malam), Maybank menentang TNB Thunderbolts jam 6 petang di Stadium Hoki Nasional 2, jam 6 petang dan ATM menentang Young Tigers di Stadium Hoki Nasional 2, jam 8 malam.

Jadual Liga Hoki Malaysia (9 Februari)

Lelaki:

Nurinsafi Sporting mln UiTM HA-KPT, 8pm (Std Bertam)

Maybank mln TNB Thunderbolts, 6pm (Std Hoki Nasional 2 Bukit Jalil)

ATM mln Young Tigers, 8pm (Std Hoki Nasional 2 Bukit Jalil)

Piala Sumbangsih

TNB mln THT, 8.30pm (Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

Wanita:

Piala Sumbangsih

KPT-UNITEN Thunder mln Negeri Sembilan, 6pm