NEGERI Sembilan FC mengambil pendekatan berani dan berbeza apabila hanya menyenaraikan tiga pemain import bagi memperkuatkan pasukan mengharungi saingan Liga Malaysia 2023.

Kebenaran diberikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk mendaftarkan sembilan pemain import nyata tidak mendapat sambutan skuad Hobin Jang Hobin yang mengekalkan dua pemain import sedia ada dan kini memburu seorang lagi pemain.

MFL mengesahkan setiap pasukan dibenarkan mengambil 9 pemain import tetapi hanya 5 pemain import beraksi di atas padang manakala seorang lagi pemain berada di bangku simpanan mengikut panduan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Dua pemain import yang kekal adalah Mark Herold Goulon, yang merupakan tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC pada musim lepas dan  telah menjaringkan enam gol dalam saingan liga musim lepas.

Seorang lagi pemain ialah Ezechiel Ndouasel. Pemain kebangsaan Republik Chad ini beraksi sebagai penyerang dan bermain di Liga Indonesia pada musim lepas.

Difahamkan pemain import ketiga yang bakal beraksi diposisi tengah masih dalam perbincangan untuk menyertai pasukan.

“Satu keputusan telah dibuat pihak kelab bersetuju untuk mengambil tiga pemain import untuk saingan liga yang akan berlangsung pada 26 Februari 2023,” jelas kenyataan media yang dikeluarkan NSFC.

Skuad bimbingan K Devan kini sedang rancak memperkemaskan pasukan menerusi beberapa siri perlawanan persahabatan sebagai persediaan mengharungin Liga M 2023.

Skuad Rusa akan menentang Perak FC malam ini sebelum PDRM FC (10 Februari), KL City FC (14 Februari), Selangor FC (14 Februari) dan Skuad Babah 21 Tahun NSFC selang dua hari kemudian.