BEKAS penyerang kelab Portugal, Devid De Santana Silva melengkapkan senarai pemain Kelantan United FC untuk musim 2023.

Lebih mesra digelar Devid, pemain berusia 26 tahun kelahiran Brazil merupakan produk dari kelab Avai FC B.

Bermula musim 2018-2020, Devid menyertai kelab Serie B atau Liga kedua Brazil sebelum berkelana ke Liga utama Albania, KS Kastrioti pada 2020/21.

Bersama KS Kastrioti, dia menyerlah setelah membuat 30 penampilan dan 10 jaringan seterusnya membawa kelab itu muncul juara Liga Albania.

Bagaimanapun, prestasi hebat pemain serangan ini menarik minat kelab Portugal, SC Covilha untuk merekrutnya pada 2021/2022.

Devid kini menjadi taruhan baharu KUFC merobek gawang lawan.

Dia beraksi 12 perlawanan di Liga Portugal namun bertindak meninggalkan kelab berkenaan pada 2022 untuk menyertai kelab juara Albania, KF Tirana.

Dengan KF Tirana, Devid Silva bermain lebih 20 perlawanan dan menjaringkan beberapa gol buat kelab itu. Dia juga turut diturunkan dalam perlawanan kelayakan Liga Juara Juara Eropah serta kelayakan Piala Europa namun gagal menjaringkan gol.

“Pengurusan kelab percaya kehadiran pemain yang berpengalaman bermain di Eropah akan membantu kelab bersaing rapat dengan kelab lain di Liga Malaysia.

“Buat Devid, BEM-Vindo Ao Kota Bharu. Semoga dia cepat menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan Tomas Trucha seterusnya mengemudi jentera serangan Sang Kijang Hijau,” ujar kenyataan rasmi KUFC.