EXCO FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob hadir pada hari kedua sesi percubaan dan pemilihan pemain bola sepak wanita B-17 bagi memberikan sokongan di Wisma FAM, Kelana Jaya, pada Khamis

Dalam sesi perjumpaan berkenaan, Suraya telah menzahirkan penghargaan beliau terhadap kehadiran 39 pemain bola sepak wanita B-17 yang bersungguh-sungguh menjalani latihan demi mendapatkan tempat di dalam skuad Malayan Tigress B-17.

“Saya amat terharu dengan komitmen yang telah ditunjukkan oleh pemain-pemain ini kerana kita boleh lihat mereka bersungguh-sungguh mahu mewakili negara di peringkat antarabangsa.

“Mereka juga berani menyahut panggilan skuad kebangsaan, berkorban masa dan tenaga semata-mata mahu mendapatkan tempat di dalam skuad Malayan Tigress B-17.

“Saya berharap keberanian dan keghairahan mereka ini menjadi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak muda di luar sana untuk membabitkan diri mereka di dalam arena bola sepak wanita negara,” kata Suraya dalam Facebook FAM.

Terdahulu, Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi telah mengadakan sesi percubaan dan pemilihan pemain bola sepak wanita B-17 bermula semalam (8 Februari 2023) hingga 11 Februari 2023 di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Sesi pemilihan pemain ini telah diadakan sebagai persiapan awal skuad Malayan Tigress B-17 mengharungi cabaran pusingan Kelayakan Piala Asia Wanita B-17 2024 di Thailand, April ini.