LEBIH dikenali dalam sukan permotoran, XOX Berhad sedia mempraktikan pengalaman dalam pentadbiran Perak FC bagi mengharungi Liga Malaysia 2023 (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin menegaskan sebagai pemilik dan syarikat yang sudah membabitkan diri dalam sukan di negara ini, pihaknya cukup faham dengan kesukaran untuk dapatkan tajaan.

“Ini pengalaman pertama dalam bola sepak dan kita cuba bawa benda sama (dengan sukan permotoran) dalam bola sepak. Datuk Lim Teong Kim ada nilai komersial, S.Saravanan juga ada nilai dia sendiri tetapi kita tidak katakan kehadiran mereka akan ubah pasukan dengan kadar segera.

“Lepas dapatkan jurulatih yang bagus, kita juga kena siapkan infrastruktur kerana tanpa kemudahan itu, kita tidak boleh cakap apa yang boleh jadi pada masa akan datang. Kita kena siapkan apa yang kita tidak ada lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin

“Kita nak buktikan diri dulu baharulah penaja akan datang kerana bercakap tentang penaja, kami (XOX Berhad) juga pernah menaja tetapi tidak dapat pulangan selepas melakukan perbelanjaan. Kita faham keadaan itu, jadi kita kena betulkan diri dulu dan (selepas itu) biar penaja datang kepada kita,” katanya.

Mengulas pendekatan pasukan yang memberikan peluang kepada pemain muda, Bobie menegaskan pihaknya tidak melakukan keputusan sembarangan dan tetap mementingkan aspek keseimbangan.

“Jujurnya banyak perlu belajar tentang industri (bola sepak), sama macam permotoran, kita nak sediakan tempat buat pelumba Malaysia dan dalam bola kita nak sediakan untuk pemain kita.

“Kalau katakan semua pemain muda, semua itu tidak betul. Kita tengok senarai pasukan, kita ada ramai pemain berpengalaman yang mungkin kita tidak nampak kelibat mereka ketika bersama pasukan lain,” katanya.