PELUMBA Mooney Vr46 racing team, Marco Bezzecchi berjaya mencatatkan masa terpantas dalam hari pertama ujian rasmi MotoGP Winter Testing 2023 di Litar Antarabangsa Sepang pada Jumaat.
Pelumba Itali berusia 24 tahun itu mencatat masa 1 minit 58.470 saat, 0.130 saat mengatasi pelumba di tempat kedua, Maverick Vinales manakala pelumba Ducati Lenovo Team, Enea Bastianini di tempat ketiga.
Dalam ujian pramusim yang berlangsung selama tiga hari di Sepang, masa terpantas bukanlah menjadi tumpuan para pelumba dan juga pasukan sebaliknya mereka mencari keserasian dan mencuba ‘set up’ yang tepat untuk motosikal.
“Ianya bagus sebagai sensasi peribadi tetapi ianya tidak membawa sebarang makna dalam ujian namun ianya tetap baik untuk melihat nama sendiri ditangga teratas senarai. Kami perlu tenang dan bekerja keras kerana perlu menghadapi musim yang panjang.
“Sudah pasti masa terpantas ini adalah permulaan yang baik tetapi sasaran utama adalah untuk memahami motosikal ini. Tidak penting sama ada saya di tempat pertama atau terakhir kerana apa yang penting kami mendapat data yang diperlukan dari ujian ini,” katanya kepada media di Litar Antarabangsa Sepang.
Sesi ujian rasmi MotoGP Winter Testing Sepang akan bersambung esok dengan kesemua pelumba sekali lagi akan menguji jentera masing-masing bagi mendapatkan data kepada jurutera untuk menambahbaik kelajuan dan keseimbangan jentera.
Bezzecchi menamatkan musim 2022 sebagai pelumba ‘rookie’ di tangga ke-14 keseluruhan dengan 111 mata dan berjaya mendapat dua kedudukan keempat di Grand Prix Thailand dan Grand Prix Malaysia.