AHMAD Jais Baharun menerima pelantikan sebagai ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan sebagai satu cabaran, meskipun sedar mengambil alih tugasan dalam situasi sukar berikutan prestasi pasukan kebangsaan yang tidak begitu menonjol ketika ini.

Bekas pemenang pingat emas Sukan Asia Hiroshima 1994 itu berkata, beliau akan memberikan yang terbaik bagi mengembalikan kegemilangan sukan takraw yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.

“Sebenarnya tugasan jurulatih (pasukan negara) sangat mencabar bagi mana-mana individu lebih-lebih lagi dengan prestasi skuad kebangsaan kita yang agak statik.

“Suka atau tidak saya kena terima hakikat, prestasi kita belum sampai ke satu tahap yang diharapkan. Bagi saya ia satu cabaran untuk saya dan pasukan untuk perbaiki keadaan dan meningkatkan prestasi pasukan negara,” kata Ahmad Jais.

Ahmad Jais Baharun dipilih Ketua Jurulatih Sepak Takraw Kebangsaan.

Justeru, Ahmad Jais mahu mencari fomula terbaik untuk membawa kejayaan kepada skuad negara terutamanya menerusi sistem latiihan lebih bersistematik.

Sebelum ini, jawatankuasa Pemilihan Pemain dan Jurulatih Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengumumkan Ahmad Jais Baharun sah menggalas tugas sebagai ketua jurulatih baharu skuad sepak takraw negara.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk Abdul Halim Suleiman, pelantikan berkenaan dibuat selepas mereka bermesyuarat semalam namun senarai tujuh lagi nama jurulatih lain hanya akan diumumkan minggu depan.

ARTIKEL BERKAITAN : Ahmad Jais Baharun dilantik ketua jurulatih sepak takraw kebangsaan