ARSENAL keciciran mata dalam perlumbaan merebut takhta Liga Perdana Inggeris (EPL), apabila Ivan Toney menjaringkan gol penyamaan buat Brentford pada minit ke-74, sekali gus menyaksikan perlawanan berakhir 1-1 di Stadium Emirates.
Terdahulu, pemain gantian Leandro Trossard meletakkan The Gunners di depan pada minit ke-66, menyudahkan gerakan Martin Odegaard dan Bukayo Sako, namun jaringan itu gagal dipertahan untuk membawa kemenangan.
Selepas tewas 1-0 kepada Everton minggu lalu, Arsenal sememangnya mencari rentak positif namun sebaliknya, prestasi di bawah tahap sebenar ditunjukkan pasukan itu.
Pengendalinya, Mikel Arteta mendakwa pengadil bertanggungjawab membenarkan jaringan penyamaan Brentford yang sepatutnya dibatalkan kerana ofsaid.
“Saya baru lihat kembali dan ia offsaid. Anda tidak boleh menghalang jika berada di kedudukan ofsaid. Sudah terlambat, tidak mengapa kerana jaringan itu membuatkan kami kehilangan dua mata berharga,” kata Arteta.
Kini mereka hanya di depan Manchester City dengan perbezaan enam mata, ketika pencabar terdekat liga itu akan melayan kunjungan Aston Villa tengah malam ini, sebelum bertandang ke Emirates pada Rabu.
Arteta akan mengetengahkan perkara itu kepada pengurusan EPL kerana insiden itu amat penting dalam usaha Arsenal memburu gelaran liga pertama sejak 2004.
Sementara itu, perlawanan lain EPL menyaksikan Leicester membelasah Tottenham 4-1.
Kekalahan itu menyaksikan harapan Tottenham untuk mengukuhkan kedudukan di kelompok empat teratas, tidak lagi selamat apabila mereka tergelincir ke kedudukan kelima liga.
Jaringan Nampalys Mendy, James Maddison, Kelechi Iheanacho dan Harvey Barnes memadam kelebihan Spurs yang memperoleh gol pendahuluan menerusi jaringan Rodrigo Bentacur.
Kemenangan itu yang ketiga berturut-turut buat Leicester dalam semua kejohanan, menyaksikan mereka kni menghuni tangga ke-13 liga dengan 24 mata, sementara Spurs tangga kelima di belakang Newcastle dengan 39 mata.
Chelsea diikat West Ham United 1-1, Crystal Palace – Brighton dan Bournemouth – Newcastle juga seri 1-1, Southampton tewas 1-2 kepada Wolverhampton dan Fulham menang 2-0 ke atas Nottingham Forest.