TOMISLAV Steinbruckner, pengendali baharu skuad Terengganu FC (TFC) jelas mempunyai perancangan khas buat pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi yang dibawa masuk untuk memantapkan lagi barisan skuad Penyu menjelang kempen Liga Malaysia dan Piala AFC 2023.

Liridon ditandatangani TFC menerusi pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mengharungi tempoh semusim di Thailand bersama kelab Khon Kaen United dan Steinbruckner mahukan dia lebih kerap membantu pertahanan dan juga menjadi lebih kreatif ketika merencanakan serangan pasukan.

Steinbruckner yang dihubungi FLASH SUKAN juga masih tidak dapat melihat dengan lebih jelas kualiti yang ada pada diri Liridon ketika berhadapan Odense Boldklub FC dari Denmark yang jelas mempunyai kualiti yang lebih baik berbanding pasukannya.

“Perlawanan semalam adalah satu aksi yang sangat menuntut kekuatan fizikal berhadapan lawan yang mempunyai kualiti lebih baik daripada kami. Oleh itu saya tidak dapat melihat kualiti terbaik yang ada pada persembahan Liridon.

“Permintan saya kepada Liridon adalah untuk sama-sama menyertai permainan pasukan ketika fasa bertahan dan juga untuk menjadi lebih bahaya di kawasan pintu gol lawan dengan memasuki zon serangan mereka.

“Dia perlu mencipta peluang buat pemain penyerang dan juga pemain sayap serta meningkatkan lagi kreativiti permainan serangan pasukan untuk memburu gol,” jelasnya yang kini dalam fasa persediaan pasukan di Thailand.

Terengganu sudah melalui tiga perlawanan persahabatan pramusim dan berjaya mencatat satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan dengan Chonburi FC bakal menjadi lawan terakhir pada Isnin.