PERSATUAN Bola Sepak (FAM) mengesahkan lawan dan juga gelanggang rasmi Harimau Malaya untuk perlawanan persahabatan antarabangsa dalam kalendar Fifa sepanjang tahun 2023.

FAM menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan beraksi dalam lapan perlawanan dengan enam daripadanya bakal diadakan di Malaysia manakala dua lagi perlawanan di luar negara.

Selain itu satu gelanggang sudah disahkan manakala tiga lagi stadium bakal dipilih untuk menjadi kandang Harimau Malaya pada aksi persahabatan pada Jun 2023 yang bakal diputuskan tidak lama lagi.

Stadium Sultan Ibrahim

“Antara perkara yang boleh saya boleh sahkan adalah untuk kalendar Mac, kita akan bermain dua perlawanan menentang Turkmenistan dan juga sama ada Chinese Taipei atau Kuwait di Stadium Sultan Ibrahim.

“Untuk bulan Jun pula kita akan lawan Yemen dan juga sama ada Syria atau Oman dengan satu perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim manakala satu lagi kita akan bermain di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

“Tapi saya difahamkan ada kerja penambahbaikan di Terengganu dan jika ini berlaku, kita akan main di Pahang atau di Pulau Pinang. Ini untuk memberikan penyokong Malaysia di negeri lain peluang untuk menyaksikan pasukan negara dengan lebih dekat,” katanya ketika ditemui pada majlis bertemu media di Petaling Jaya pada Selasa.

Skuad Turkmenistan ketika sesi latihan

Harimau Malaya bakal berkunjung ke luar negara untuk kalendar September dan akan bertemu Hong Kong yang sudah disahkan sebagai lawan manakala empat lagi negara yang menjadi pilihan sama ada Chinese Taipei, Jepun, China atau Uzbekistan.

Hamidin juga mengesahkan FAM akan mengadakan semula kejohanan Pestabola Merdeka yang bakal diadakan dalam kalendar Fifa bulan Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas padang yang baru siap dinaik taraf.

“FAM akan mewujudkan semula kejohanan Pestabola Merdeka pada Oktober dan kita sudah mendapat pengesahan daripada India, Lubnan, Palestin dan juga kemungkinan China dalam kejohanan yang akan menggunakan format sama seperti King’s Cup yang berlangsung di Thailand dengan setiap negara bakal bermain dua perlawanan,” tambah Hamidin.

Pestabola Merdeka

Kesemua pasukan yang dipilih adalah selari dengan taktikal yang mahu digunakan oleh Kim Pan-gon sebagai persiapan buatnya untuk menghadapi Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia 2026/27 pada November selain persiapan ke Piala Asia 2023 yang berlangsung di Qatar pada Januari 2024.