PERSATUAN Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengambil inisiatif untuk memartabatkan senario bola sepak wanita tempatan dengan melancarkan Liga Bolasepak Wanita KLFA 2023 yang bakal bermula pada Jumaat ini.

Untuk peringkat permulaan, lima pasukan mengambil bahagian, Naj FC, Wangsa Maju FC, Mixstar FC, Wonder Girls FC dan Sternen FC bakal merebut hadiah kejuraan bernilai RM4,000 dan juga muncul juara pertama Liga Wanita KLFA.

Bertemakan ‘Inspirasi Wanita Aktif’, liga ini diwujudkan selaras dengan pelan pembangunan bola sepak wanita yang direncanakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mencungkil lebih banyak bakat-bakat baharu untuk mewakili negara.

Khalid Samad

Pengerusi Pertandingan Liga Wanita KLFA, Nor Asyikin Jaafar berkata matlamat utama liga ini adalah untuk menarik minat golongan wanita untuk menceburi dunia bola sepak bukan hanya sebagai pemain malah pegawai dan juga pengadil yang bertauliah dan berkaliber.

Turut hadir sama pada majlis pelancaran ini adalah Presiden KLFA, Khalid Samad yang nyata teruja kerana Kuala Lumpur menjadi antara pasukan awal mewujudkan liga dikalangan pemain wanita dan berharap ianya dapat menarik badan korporat untuk menaja bagi musim akan datang.

“Sememangnya liga ini diwujudkan selari dengan perancangan FAM untuk memperkasakan bola sepak wanita negara dan saya berharap dengan sokongan banyak pihak liga ini boleh menarik lebih banyak penyertaan dan juga penaja untuk menambah kerancakannya,” kata Khalid ketika sesi sidang media.

Turut diumumkan pada majlis pelancaran itu adalah barisan penaja yang terdiri daripada penaja pakaian pemain dan pengadil, bola dan jersi rasmi kejohanan serta barangan F&B.

Liga Bolasepak Wanita KLFA bakal berlangsung dari 17 Februari hingga 4 Mac 2023 dengan menggunakan format round robin akan dilangsungkan di Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya.