SEMEMANGNYA skuad badminton negara tidak berdepan masalah ketika membuka cabaran Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), apabila menang mudah 5-0 ke atas pasukan tuan rumah.

Menurunkan barisan terkuat pada perlawanan pertama itu, keutamaan pastinya mahu pemain membiasakan diri dengan gelanggang pertandingan dan membaca gerakan angin.

Lee Zii Jia bersemangat hadiahkan mata pertama buat skuad berpasukan campuran negara di Dubai.

So far so good, just try to get better and better,” kata Lee Zii Jia yang pertama turun ke gelanggang pada Selasa.

Zii Jia menghadiahkan mata pertama dengan kemenangan 21-12, 21-15 ke atas Bharath Latheesh, sebelum Goh Jin Wei menjadikan kedudukan 2-0 dengan kemenangan 21-0, 21-7 ke atas Madhumitha Sundarapandian.

“Saya sememangnya perlu hadiahkan mata pertama buat pasukan supaya menaikkan semangat rakan-rakan.

“Paling penting adalah pertemuan dengan India.”

Goh Jin Wei mempamerkan aksi bertenaga pada hari pertama kejohanan.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang diturunkan untuk mencari mata ketiga, tiada masalah mengatasi Dev Ayyappan-Dhiren Ayyappan 21-11, 21-13.

Pearly Tan-M Thinaah mengatasi Sanika Dhawan Gurav-Taabla Khan 21-9, 21-8, manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing menewaskan Dev Vishnu-Aleena Qathun 21-10, 21-9 untuk melengkapkan kemenangan 5-0.

“Hari ini banyak keluarkan game sendiri. Pemain UAE tetap cuba memberi cabaran kepada kami, tapi kami enjoy perlawanan tadi,” kata Yew Sin.

Semoga Pearly Tan-M Thinaah meneruskan kecemerlangan ketika menentang India, esok.

Esok, skuad negara akan turun sekali lagi, berdepan India yang turut mencapai kemenangan 5-0 ke atas Kazakhstan.

Pemenang perlawanan itu bakal menentukan siapakah yang layak bergelar juara kumpulan B, sekali gus mara ke suku akhir selaku juara kumpulan.