SKUAD futsal kebangsaan nyata tidak bermaya apabila tewas buat kali ketiga berturut-turut apabila mudah tunduk kepada Indonesia 0-3 dalam perlawanan ketiga acara futsal lelaki pada Sukan Sea ke-31 di Ha Nam, Vietnam.
Seperti pada aksi sebelumnya ketika menentang Thailand dan Vietnam skuad negara dilihat bermain tanpa arah dan mudah memberikan jaringan kepada lawan menerusi kesilapan individu.
Bagaimana sedikit perubahan dapat dilihat pada barisan pertahanan apabila berjaya mengekang asakan Indonesia untuk hanya ketinggalan 1-0 menerusi jaringan Syauqi Saud pada minit ke-17 dan keputusan kekal hingga tamat babak pertama.
Indonesia dilihat meningkatkan rentak permainan pada babak kedua dan akhirnya berjaya menjaringkan dua lagi gol menerusi jaringan Firman Adriansyah pada minit ke-21 dan ke-22.
Kemenangan ini memberikan Indonesia tiga mata penuh dan kini di laluan yang tepat untuk mengutip pingat emas dengan Thailand dilihat sebagai penghalang.
Dengan tiga kekalahan berturut-turut ini, Malaysia kini di tangga terbawah dari lima pasukan dan akan berhadapan Myanmar pada 23 Mei untuk melihat sama ada masih mampu mengutip sebarang pingat atau tidak.