PERTARUH pemain muda ke Sukan Sea Kemboja, Akademi Badminton Malaysia (ABM) yakin peluang meraih pingat emas tetap ada.
Ketua Pegawai Eksekutif ABM, Michelle Chai berkata, skuad muda badminton itu tetap mampu bersaing menghadiahkan pingat emas buat negara pada saingan bermula 5 hingga 17 Mei depan.
Keputusan menyenaraikan pemain muda bagi membawa cabaran di temasya dwi tahunan itu dibuat berikutan pasukan terkuat negara akan menggalas misi pada saingan Piala Sudirman di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei.
“Kami sentiasa percaya semua pemain kami cukup kompetitif tidak kira siapa pun yang disenaraikan. Walaupun kami menghantar pasukan terkuat ke Piala Sudirman, tetapi anda tidak boleh katakan yang pasukan ke Sukan SEA adalah lemah.
“Dua kejohanan itu penting sebagai sebahagian daripada Projek 2024. Kami mahu memberikan pendedahan kepada pemain muda di Sukan SEA untuk penilaian prestasi mereka,” kata Michelle selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilhan ke Sukan SEA Kemboja pada Selasa.
Michelle berkata, senarai 20 pemain masing-masing 10 lelaki dan 10 wanita yang akan ke Kemboja belum dimuktamadkan tetapi mengesahkan tiada pemain profesional yang disenaraikan dalam senarai awal 38 pemain.
Antara pemain muda yang dijangka menjadi taruhan utama skuad negara di Kemboja adalah perseorangan lelaki, Justin Hoh dan perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman.
Dalam pada itu, Michelle memberitahu masih terlalu awal untuk meletakkan sasaran buat skuad negara pada Sukan SEA kali ini kerana perlu menilai dahulu tahap kekuatan pasukan lawan yang turut beraksi di temasya itu nanti.
“Saya rasa sekarang terlalu awal untuk menetapkan (sasaran), kerana kita kena tengok dahulu siapa pencabar kita di Kemboja…sebab yang dihantar di sana adalah pemain muda muda dan Sukan SEA menjadi medan pendedahan untuk mereka,” katanya.
Pada Sukan SEA Hanoi, tahun lalu, skuad badminton negara membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa. Emas disumbangkan beregu campuran, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.