PERBAIKI pencapaian edisi lalu, bukan suatu yang mustahil meskipun tempoh melakukan persiapan untuk ke Sukan Sea Kemboja.

Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Sea Kemboja, Datuk Mohd Nasir Ali berkata, meskipun tempoh persiapan setahun, persiapan kali ini dipercayai jauh lebih baik berbanding penyertaan kontinjen ke Sukan Sea Hanoi, Vietnam, tahun lalu.

“Walaupun tempoh masa antara Sukan Sea Hanoi dan Kemboja dekat, tetapi mereka (atlet) sudah buat persiapan sebelum temasya Hanoi berlangsung lagi, jadi dari segi waktu itu memang mencukupi.

“Momentum itu memang kita ada kerana hasil penglibatan di Hanoi sebelum ini. Kami dapati ada kesinambungan dan tiada jurang, jadi atlet-atlet kita lebih bersedia berbanding di Hanoi,” katanya.

Mohd Nasir Ali yakin semua atlet sudah melakukan persiapan terbaik ke Sukan Sea Kemboja, Mei depan.

Pada Sukan Sea Hanoi, Malaysia melepasi sasaran 36 pingat emas apabila membawa pulang 39 emas, 45 perak dan 90 gangsa dengan sukan terjun menjadi penyumbang emas terbesar menerusi lapan emas.

Dalam pada itu, Mohd Nasir memaklumkan persiapan tuan rumah bagi menganjurkan temasya sukan dua tahun sekali itu berjalan lancar dengan semua venue dilaporkan hampir siap sepenuhnya.

Sukan Sea Kemboja akan berlangsung bermula dari 5 hingga 17 Mei depan.