MERCEDES telah melancarkan jentera baharu mereka, W14 yang menggunakan warna hitam dengan kedua-dua pelumba, Lewis Hamilton dan George Russell cuba untuk bangkit dan mencabar kejuaraan untuk musim 2023.
Gergasi permotoran yang mendominasi sukan F1 dan memecahkan pelbagai rekod dari 2014 hingga 2021, jatuh ke tangga ketiga musim lalu dan jentera W14 ini mempunyai tugas untuk mengembalikan pasukan ini sebagai pencabar pasukan Red Bull dan Ferrari.
W14 juga adalah jentera yang bakal digunakan Hamilton dalam misinya muncul juara dunia lapan kali selepas hanya mendapat tempat keenam keseluruhan pada 2022, rekod terburuknya sepanjang terlibat dalam F1.
Back in black. 🖤 Meet the Mercedes-AMG F1 W14 E PERFORMANCE. 😍
We're #AllInPerformance. 💪 pic.twitter.com/qKYiQiR6In
— Mercedes-AMG PETRONAS F1 Team (@MercedesAMGF1) February 15, 2023
“Kami lakukan rekaan semula, mengoptimum dan melakukan banyak inovasi pada bahagian kereta dan ianya menakjubkan. Saya menggemari warna hitam ini yang mengatakan kami bersedia untuk bersaing,” kata Hamilton pada majlis pelancaran itu.
Mercedes kembali menggunakan warna hitam seperti tahun 2020 dan 2021 sebagai tanda sokongan kepada kempen perkauman dengan Prinsipal Pasukan, Toto Wolff menegaskan Mercedes akan menggunakan warna perak dan hitam di masa hadapan.
“Kami agak berat pada musim lalu dan tahun ini kami cuba mengenal pasti bahagian mana yang boleh kami perbaiki untuk mengurangkan berat walaupun satu gram dan kami gembira dengan jentera baharu ini.
“Sudah tentu apabila kami menukar warna pada 2020 faktor utama ketika itu adalah untuk menyokong kepelbagaian dan hak kesamarataan yang sememangnya dekat di hati kami.
“Warna hitam sudah menjadi sebahagian dari DNA kami ketika itu dan kini kami berbangga untuk membawa warna hitam kembali ke jentera W14 kami,” kata Wolff.
Hamilton dan Russell yang menyambut ulang tahun ke-25 memandu jentera baharu itu di Litar Northamptonshire sejurus selepas acara pelancaran untuk mendapatkan keserasian sebelum permulaan musim baharu.
Ujian pramusim akan bermula dari 23 hingga 25 Februari di Litar Sakhir, Bahrain sebelum musim penuh bermula di litar yang sama dengan Grand Prix Bahrain mengambil tempat pada 5 Mac.