KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memuji kesungguhan barisan pemain pertahanan yang beraksi baik mematahkan serangan pasukan Sarawak United FC (SUFC).
Pertemuan di Stadium Negeri, Kuching yang memihak skuadnya cukup melegakan hati Kim Swee untuk melonjak kedudukan kedua Liga Super di belakang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Bukan satu perlawanan yang mudah bagi kami. Lawan gemar bermain corak hantaran jauh dan terus ke bahagian serangan.
“Mujur, benteng pertahanan kami segera menutup ruang. Saya harus bagi kredit atas segala komitmen pemain atas padang,” ujarnya selepas permainan.
Kim Swee ketika zaman kegemilangan beraksi untuk Sabah dan Sarawak menyifatkan pertembungan Borneo Derby pada Ahad malam cukup sukar dan selalu dalam ingatan.
“Saya pernah bermain untuk Sabah menentang Sarawak. Beraksi mewakili Sarawak berdepan Sabah. Saya tahu betapa istimewa perlawanan itu dan sudah tentu kemenangan ini cukup bermakna buat saya dan pasukan,” ujarnya.
Sabah FC yang bermula langkah kiri mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dan kini mengutip sembilan mata selepas empat perlawanan.