PEMILIK majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar mengakui sukar untuk dirinya meyakinkan para penaja pada peringkat awal kerana kedudukan Kedah yang menghuni tangga kelapan Liga Super pada musim 2022.
Namun begitu, ‘fanbase‘ Kedah yang besar berjaya meyakinkan syarikat korporat untuk melabur dalam KDA FC kerana mereka melihat nilai tambah yang mampu diberikan para penyokong setia Sang Kenari terutama ketika perlawanan di Stadium Darul Aman.
Daud yang ditemui FLASH SUKAN bagaimanapun gembira apabila dapat meyakinkan dua hingga tiga syarikat yang terkenal untuk menaja KDA FC dan semuanya akan diumumkan pada 18 Februari 2023 bersempena Malam KDA Perdana.
“Tahun ini agak mencabar kerana kedudukan Kedah yang agak teruk tahun lepas dan saya perlu bermula dengan meyakinkan penaja bahawa Kedah adalah satu pasukan pencabar untuk musim ini. Mereka tidak harapkan menang tetapi mereka mahu pasukan memberikan kualiti persembahan yang baik.
“Alhamdulillah dengan ‘track record‘ dan ‘fanbase‘ yang dimiliki Kedah, perkara paling mahal dalam konteks bola sepak Kedah ini berjaya meyakinkan dua tiga penaja bertaraf tinggi dan boleh berikan nama baik untuk KDA apabila diumumkan pada 18 Februari nanti,” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.
ARTIKEL MALAYSIA : Bakal penaja utama tanya pemilik KDA FC.. “Bolehkah Kedah menjadi juara tahun ini” ?
Ditanya berkaitan pemilik pasukan oleh syarikat korporat seperti yang berlaku kepada pasukan Kuala Lumpur City FC, Daud terbuka untuk berbincang dengan beberapa syarat yang perlu dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berminat.
“Kita terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak dengan syarat mempunyai cara pemikiran dan ‘wavelength’ yang sama dengan pengurusan KDA. Ini kerana bola sepak bukan hanya perniagaan tetapi juga aspek sosial ekonomi untuk rakyat Kedah,” tambahnya.
Siapa bakal menjadi penaja Kedah Darul Aman FC musim ini akan terjawab pada Malam KDA Perdana 2023 di Stadium Darul Aman pada Sabtu dan Daud menyeru semua penyokong Kedah untuk sama-sama memeriahkan dan memberikan sokongan kepada pasukan Sang Kenari.