SELEPAS dua perlawanan menentang Emiriyah Arab Bersatu dan Kazakhstan, semua pemain yang dibawa ke Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAMTC) 2023 sudah diturunkan, kini tiba giliran barisan kejurulatihan menentukan siapa lebih layak beraksi menentang India pada perlawanan terakhir kumpulan B.
Menjadikan sasaran juara kumpulan sebagai langkah terbaik ke suku akhir, Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Lelaki, Wong Choong Hann mula membayangkan siapa yang lebih sesuai diturunkan ketika menentang India.
“Kita perlu nilai kondisi semasa pemain… saya dan barisan kejurulatihan akan berbincang mengenai siapa yang akan diturunkan tapi yang pasti, pemain terbaik adalah pemain yang berani dan ada kemahuan tinggi,” kata Choong Hann.
Menurutnya, selepas dua aksi, perlawanan menentang Kazakhstan semalam (Rabu) menampilkan pemain perseorangan lelaki dan wanita yang kali pertama beraksi dalam acara berpasukan campuran di peringkat senior.
Meskipun baharu kali pertama diturunkan, Wong Ling Ching dan Leong Jun Hao mampamerkan aksi yang baik.
“Selepas perlawanan, kami bertanya pada pemain dan mereka memberitahu ada feeling yang baik, tapi saya dapat lihat mereka gementar.
“Semua itu kita sudah jangka namun positifnya, mereka cepat bertenang dan menyesuaikan diri, jadi saya percaya mereka datang untuk menang,” kata Choong Hann lagi.
Sementara itu, Aaron Chia yang turun beraksi kali pertama bergandingan dengan Soh Wooi Yik ketika menentang Kazakhstan memberitahu, semua pemain sudah bersedia.
“Semua pemain sudah turun beraksi dan kami bersedia untuk menghadapi India.
“Cuma siapa yang diturunkan mesti berhati-hati kerana keadaan gelanggang yang agak licin, kita tak mampu berbuat apa-apa mengenainya.
“Paling penting kita sudah lock tempat ke suku akhir, apa yang kita mahukan sekarang adan mengunggulu kumpulan (B),” kata Aaron.
Berdasarkan pengamatan, tidak mustahil skuad negara merehatkan Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei sambil memberi peluang kepada Jun Hao dan Ling Ching dalam perseorangan lelaki dan wanita mencuri sekurang-kurangnya satu mata, manakala mata kemenangan diharapkan menerusi tiga beregu.
Turut dijangka barisan kejurulatihan menggunakan kombinasi Aaron-Ee Yi untuk menambah sengat serangan dalam beregu lelaki, sambil mengekalkan Pearly Tan-M Thinaah dalam beregu wanita dan menurunkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang lebih agresif memburu mata, untuk mengekang gandingan India.
Skuad negara akan berdepan India kira-kira jam 9 malam ini.