BIAR lambat asalkan ada keputusan positif dibawa pulang dari bumi Phnom Penh, Kemboja, Mei depan.
Begitulah harapan besar Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang melakukan rombakan struktur kejurulatihan di bawah kendalian ketua jurulatih baharu, Ahmad Jais Baharun.
Presidennya, Datuk Sumali Reduan berkata, rombakan barisan kejurulatihan dibuat bagi mendapatkan prestasi membanggakan terutama di temasya Sukan Sea Kemboja.
“Ada beberapa rombakan dalam barisan kejurulatihan lelaki, saya harapkan ia memberi beri wajah dan nafas baharu sepak takraw negara kita,” katanya.
Berdasarkan senarai jurulatih yang dikeluarkan, hanya tiga muka lama berada dalam struktur berkenaan iaitu jurulatih skuad wanita dan Chinlone, Rashidi Nordin, Khairuddin Adenan serta Awi Awang.
Muka baharu yang dipertaruhkan PSM kali ini ialah Aswadi Abdullah, Ahmad Zain, Suhaimi Yusof dan Zulkarnain Md Arif.
“Saya sudah maklum kepada Ahmad Jais, kali ni kita kena betul-betul tunjukkan PSM ke arah mencapai satu prestasi membanggakan dan memberi harapan baharu kepada peminat serta penggiat sepak takraw negara.
“Jadi dengan barisan jurulatih dan pemain yang ada, saya kira rombakan baharu ini mudah-mudahan kita nampak hasilnya di Sukan Sea Kemboja.
“Saya faham dalam masa amat singkat, dua tiga bulan bukan perkara mudah tetapi kita akan cuba ke arah itu, setidak-tidaknya ada peningkatan prestasi yang membanggakan,” ujar Sumali sambil menuntut jurulatih dan pemain memberi komitmen penuh atas tanggungjawab yang diberi.
Di Temasya Kemboja 2023, 22 pingat emas bakal menjadi rebutan negara yang mengambil bahagian dalam saingan sepak takraw yang akan bermula dari 6 hingga 16 Mei di Phnom Penh.
PSM meletakkan sasaran membawa pulang dua emas, selepas hanya meraih tiga perak dan dua gangsa pada temasya sebelum ini di Hanoi.