KEKALAHAN skuad badminton negara kepada India lewat malam tadi menimbulkan kegusaran kepada peminat badminton tanahair, apabila nasib kelayakan ke Piala Sudirman Mei depan menjadi taruhan.

Namun, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria kekal tenang, kerana skuad negara masih berpeluang layak ke separuh akhir meskiun muncul naib juara kumpulan B,Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Beliau mengharapkan agar skuad negara segera melupakan kekalahan itu untuk bangkit pada perlawaann seterusnya.

Norza menyifatkan kekalahan adalah asam garam di pentas pertandingan dan mahu pemain negara bangkit ketika bertemu China di peringkat suku akhir hari ini.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mahu pemain bangkit memburu kemenangan di suku akhir BAMTC2023, ketika menentang China, malam ini.

“Pertandingan ini belum habis lagi. Bagi saya prestasi pasukan negara sudah tentu ada pasang dan surutnya. Jadi saya harap mereka dapatkan lupakan kekalahan itu (India) dan teruskan cabaran terutama mereka bakal bertemu China yang pasti cabarannya bukan agak mudah.

“Saya percaya mereka semua pemain yang profesional dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk perlawanan seterusnya. Saya harap mereka mampu untuk beri aksi terbaik,”katanya.

Pada aksi akhir peringkat kumpulan B semalam (Khamis), Malaysia menamatkan saingan sebagai naib juara selepas tewas pada India 1-4.

Malaysia diundi bertemu China pada aksi suku akhir hari ini bagi mencari slot ke pusingan separuh akhir.

India yang muncul juara kumpulan B mendapat laluan mudah, menentang Hong Kong, Thailand berdepan Jepun manakala Korea Selatan berdepan Indonesia di suku akhir, hari ini.

Empat pasukan yang layak ke separuh akhir akan mendapat slot automatik beraksi di Piala Sudirman yang akan berlangsung di Suzhou, China Mei depan.