MINGGU ke-24 Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2022/23 menyaksikan beberapa perubahan berlaku pada kelompok atasan liga selepas beberapa keputusan yang tidak dijangka berlaku pada Sabtu.

Arsenal yang bermain ‘lunch time kick-off‘ kembali menerajui liga selepas bangkit dari ketinggalan 1-2 pada babak pertama untuk menewaskan Aston Villa 4-2 dengan dua gol dijaringkan pada masa kecederaan.

Kembalinya Arsenal ke puncak liga juga dibantu keputusan yang tidak memihak Manchester City apabila The Citizens sekadar seri 1-1 dengan Nottingham Forest ketika bertandang ke City Ground.

 

Liverpool kembali menunjukkan aksi yang mantap apabila berjaya menewaskan pasukan di tangga keempat, Newcastle United 2-0 hasil jaringan dua pemain muda The Reds, Darwin Nunez dan Cody Gakpo.

Newcastle yang kehilangan penjaga gol, Nick Pope kerana dilayangkan kad merah masih kekal di tangga keempat liga tetapi Liverpool semakin menghampiri dengan perbezaan hanya enam mata dan mempunyai satu perlawanan di dalam tangan.

Ketika pasukan-pasukan utama meraih kemenangan atau mata, nasib berbeza buat Chelsea apabila kekal di tangga ke-10 selepas sekali lagi tewas, kali ini di tangan pasukan tangga terbawah, Southampton 1-0.

 

Kekalahan ini membuatkan peluang The Blues untuk menamatkan saingan liga di tangga keempat semakin sukar apabila kini mempunyai perbezaan 10 mata dengan pasukan Newcastle United.

Keputusan lain menyaksikan Brentford terikat 1-1 dengan Crystal Palace, Wolves tewas 0-1 kepada Bournemouth manakala Fulham terus cemerlang merakam kemenangan 1-0 keatas Brighton dan Everton kembali ke landasan kemenangan apabila berjaya membenam Leeds United 1-0.

Dua lagi perlawanan akan berlangsung pada Ahad dengan Manchester United bakal berhadapan Leicester City di Old Trafford manakala Tottenham Hotspur akan melayan kunjungan seteru London, West Ham.

Berikut adalah kedudukan semasa Liga Perdana Inggeris: