BEKAS pemain Chelsea, John Obi Mikel, menganggap Eden Hazard sebagai tidak profesional. Dia menggelar Hazard sebagai pemain bola sepak paling malas.

Hazard memperkuatkan Chelsea pada 2012-2019 sebelum berpindah ke Real Madrid. Mikel berada dalam pasukan yang sama dengan Hazard di Chelsea selama lima tahun.

Semasa di Chelsea, Hazard disebut-sebut sebagai antara pemain terbaik. Pemain Belgium itu mencatatkan 110 gol dan 92 bantuan dalam 352 penampilan untuk The Blues. Hazard membantu Chelsea memenangi enam trofi, termasuk dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Mikel mendakwa Hazard malas untuk berlatih di Chelsea. Bagaimanapun, dia tidak menafikan Hazard masih boleh kelihatan baik sepanjang perlawanan.

“Semua orang mahu masuk ke dalam kesebelasan utama pada hujung minggu dan tiada ruang untuk berfikir. Saya tidak mahu berlatih hari ini. Satu-satunya pemain yang saya lihat melakukannya dan masih layak ialah Eden Hazard,” kata Mikel kepada Dubai Eye.

Ujarnya lagi, Hazard tidak pernah berlatih dan paling teruk merupakan pemain bola paling malas yang pernah dilihat dalam hidupnya.

“Saya sebenarnya fikir apabila anda melihat dia sekarang berat badannya turun banyak. Tetapi apabila dia di Chelsea, malam sebelum perlawanan, selepas makan malam, dia boleh duduk setengah jam makan puding nasi. Dia suka makanan itu.

“Tetapi keesokan harinya dia akan bermain dengan baik dan berkata ‘lihat ini’, jadi kami biarkan dia melakukan apa yang dia mahu,” kata Mikel mengenai Eden Hazard.

Eden Hazard kini berdepan masa sukar di Real Madrid. Selain dibelenggu kecederaan, pemain berusia 32 tahun itu kini juga jarang diturunkan oleh Carlo Ancelotti.