PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah buat tiga remaja wanita Malaysia yang berjaya mengharumkan nama negara dalam sukan bertaraf antarabangsa.
Menurut Anwar, Daniaa Daniela Abd Hazil, Lynn Lim Lim dan Adani Raihan Muhammad Azhari telah menjuarai 2023 World Junior Tennis Asia/Oceania di Colombo, Sri Lanka.
“Tiga ‘puteri’ Malaysia tawan pentas antarabangsa! Tahniah kepada Daniaa Daniela Abd Hazil, Lynn Lim dan Raihan Muhammad Azhari kerana menjuarai 2023 World Junior Tennis Asia/Oceania di Colombo, Sri Lanka.
“Moga kejayaan mendorong lebih ramai bakat muda mengharumkan nama negara di pentas dunia,” katanya dalam Facebook pada Isnin.
Semalam, skuad tenis remaja wanita Bawah 14 tahun negara mengesahkan slot ke pusingan kelayakan Remaja Dunia 2023 selepas membenam cabaran Singapura pada aksi final prakelayakan Asia-Oceania ITF World Junior Team Championship.
Kejayaan itu hadir menerusi dua pemain perseorangan iaitu Adani Raihan Muhammad Azhari dan Daania Daniella Abd Hazli sebelum dilengkapkan oleh pasangan beregu Lynn Lim Lim/ Adani Raihan Muhammad Azhari.