DUA kelab dengan reputasi hebat dalam Liga Malaysia, Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC kini dalam rangka merancang kerjasama strategik selepas pertemuan kedua-dua pemilik majoriti kelab.

Kedah yang diwakili Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar telah mengadakan pertemuan empat mata dengan pemilik saham majoriti KL City FC, Rinani Group Berhad yang diwakili Datuk Seri Noor Azerai di ibu negara pada Isnin.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Tan Sri Daud di laman sosial peribadinya, pertemuan itu banyak membincangkan perkara mengenai bola sepak dan kedua-dua pasukan bersetuju untuk menjalin kerjasama strategik terutama dalam pengurusan penjimatan kos.

“Alhamdulilah, saya amat bertuah mendapat ruang dan peluang bertemu denga Datuk Seri Azerai seorang tokoh perniagaan terkemuka tanah air dari Kumpulan Rinani pada Isnin.

“Pertemuan tadi banyak ada pertemuan minda. Banyak yang kami bincangkan. Semuanya berada di luar kotak. Seronok jumpa dan bincang dengan orang yang ada frekuensi yang sama. Nantikan banyak perkembangan dan kerjasama straegik antara KDA FC dan KL CITY FC,” tulisnya di laman sosial.

Baru-baru ini, Rinani Group Berhad telah menjadi pemegang saham majoriti KL City FC selepas majlis menandatangani perjanjian ketika perlawanan Piala Menteri Wilayah Persekutuan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

 

Tambah menarik, kedua-dua kelab yang beraksi di Piala AFC musim 2022 itu turut menjalin kerjasama dengan pembekal telco yang sama yang menawarkan kad sim pemula untuk dibeli para penyokong.

“Kita hanya berlawan di atas padang hanya untuk 90 minit. Selain itu, kita adalah rakan dan juga rakan bisnes mengurus pasukan masing-masing dengan penjimatan kos,” tambah Daud lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Rinani Group Berhad lengkapkan pemilikan saham KL City FC

Kedua-dua kelab baru sahaja selesai dengan kempen pramusim yang menyaksikan Kedah terbang ke Turki manakala KL City melakukan persiapan di Lembah Klang sebagai persediaan menghadapi musim baharu Liga Malaysia.

Kedah bakal bertemu Perak di Stadium Perak, Ipoh manakala Kuala Lumpur City melayan kunjungan Penang FC di Cheras dalam aksi pembukaan Liga Super 2023 pada Sabtu.