SAINGAN liga bola sepak Malaysia yang membuka tirainya minggu ini, bakal lebih meriah apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menjalin kerjasama kerjasama dengan Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) sebagai Bank Digital Rasmi Liga Malaysia 2023.

Menerusi kerjasama terbabit, membolehkan syarikat perbankan antarabangsa itu menjadi Bank Digital Rasmi Liga Malaysia 2023, dan memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, kerjasama itu amat dialu-alukan.

“Ini bukan sekadar satu perjanjian penajaan tetapi perkongsian strategik yang mampu mengukuhkan matlamat bersama kedua-dua pihak.

“Dengan rize telah memulakan era baharu perbankan abad ke-21, MFL juga memulakan penstrukturan baharu Liga Malaysia untuk membawa bola sepak tanah air ke tahap lebih tinggi. Bersama Al Rajhi Bank Malaysia, ini akan membantu kami mencapai objektif tersebut,” katanya.

CEO MFL, Stuart Ramalingam (kiri) dan CEO Al Rajhi Bank Malaysia, Arsalaan Ahmed (kanan) memegang jersi tertera produk perbankan digital bank antarabangsa itu dan logo MFL sebagai tanda memetrai kerjasama kedua-dua pihak.

Al Rajhi sedang mempromosi produk baharu bank digitalnya, rize menganggap kerjasama ini sebagai kesempatan terbaik.

Ini adalah kerjasama sulung Al Rajhi Bank Malaysia dalam penajaan liga bola sepak utama negara yang membabitkan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup, Piala MFL dan Piala Sumbangsih.

Turut hadir menyaksikan majlis menandatangani kerjasama itu ialah Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al Rajhi Bank Malaysia, Arsalaan Ahmed.

Menurut Arsalaan: “Tujuan utama rize ini adalah untuk memberikan inspirasi dan membantu pelanggan kami dalam mencapai harapan dan impian mereka. Kami berharap dapat melakukan perkara sama bersama komuniti bola sepak Malaysia dengan mencipta pengalaman baharu bersama mereka di Liga Malaysia 2023.

“Al Rajhi Bank Malaysia dan MFL akan menjalinkan kerjasama secara lebih meluas memandangkan rize merupakan bank digital terbaharu di Malaysia dan kami melihat kerjasama ini sebagai satu peluang untuk melonjakkan lagi imej kami bersama bola sepak Malaysia.

“Kami akan membentangkan perancangan kami dengan lebih mendalam dalam beberapa minggu akan datang. Banyak aktiviti menarik yang mampu di rangka pada perlawanan-perlawanan akan datang,” katanya.

Kerjasama Al Rajhi Bank Malaysia bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selama setahun diharap disambung untuk tempoh jangka panjang. -Arsalaan Ahmed, CEO Al Rajhi Bank Malaysia.

Dalam pada itu katanya, peminat bola sepak akan melalui satu pengalaman perbankan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini melalui sentuhan teknologi terbaik di dalam kelasnya.

“Segala keperluan perbankan akan tersedia di telefon pintar tanpa perlu pergi ke cawangan bank yang terdekat. Sebagai permulaan untuk semua peminat, kami ingin mengumumkan sama ada ‘rizers’ baharu atau lama, mereka akan layak mendapat diskaun 10 peratus daripada harga tiket tontonan bola sepak jika membuat pembayaran menggunakan kad debit rize.

“Pelanggan boleh memesan secara atas talian serta mengaktifkan aplikasi rize secara digital tanpa pergi ke mana-mana cawangan bank yang terdekat dan tawaran tiga bulan ini turut terbuka kepada pelanggan semasa Al Rajhi Bank,” katanya.