PENGURUSAN Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mahu mengubah persepsi masyarakat tentang kemudahan yang ditawarkan litar kebanggaan negara itu dengan membuka litar untuk semua golongan.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif yang ditemui berkata persepsi masyarakat terhadap SIC adalah ianya hanya untuk golongan kaya kerana ianya melibatkan sukan permotoran yang terkenal dengan kos yang tinggi.
Oleh itu SIC akan membuka litar ini untuk meliputi semua golongan dengan mengadakan acara massa yang bukan tertumpu pada sukan permotoran sahaja dengan harga yang berpatutan dan lebih mesra bagi semua.
“Masyarakat menggangap SIC adalah tempat yang elit dan tempat yang mahal kerana kita sering menganjurkan sukan permotoran dan saya mahu menukar persepsi itu dengan membuka lebih banyak acara yang tidak berkaitan sukan permotoran dengan harga yang berpatutan.
“Tahun ini kita akan buka untuk sukan-sukan massa seperti berbasikal, marathon dan juga acara bukan permotoran seperti konsert dan sebagainya dengan harga yang berpatutan kerana banyak tempat di luar litar yang boleh digunakan untuk pelbagai acara,” katanya di majlis Hari Terbuka SIC di Litar Antarabangsa Sepang pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Shafriman turut mengesahkan perbincangan antara SIC dan Kerajaan Negeri Selangor masih berlangsung untuk berbincang mengenai cukai hiburan yang dikenakan keatas tiket perlumbaan MotoGP yang menyebabkan kenaikan harga tiket.
Dia juga menyeru para peminat perlumbaan MotoGP untuk mendapatkan tiket ‘early bird’ dengan potongan harga 15 peratus bagi perlumbaan Grand Prix Malaysia Petronas yang bakal berlangsung dari 10 hingga 12 November 2023.