MUNGKINKAH rekod acara 60 meter (m) dalam dewan kebangsaan akan dipecahkan buat kali ketiga, apabila atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dijangka beraksi pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC di Pusat Trek Tertutup Tyson di Fayetteville, Amerika Syarikat (AS), hujung minggu ini.

Pelari sensasi berusia 19 tahun yang menuntut di tahun pertama Universiti Auburn, berkata dia teruja untuk membuat penampilan sulung dalam saingan SEC (Southeastern Conference) – persidangan terbesar universiti di AS yang dijadual bermula, awal pagi Sabtu ini (waktu Malaysia).

“Kejohanan SEC dalam dewan pertama saya minggu ini, satu lagi peluang untuk memperbaiki prestasi,” tulis Azeem menerusi ciapan di Twitter miliknya, semalam.

Azeem mencetuskan impak positif sejak ‘berguru’ di AS sejak bulan lalu, memecahkan rekod kebangsaan acara 60m dalam dewan dengan catatan 6.63 saat (s) ketika Kejohanan Texas Tech Open & Multi di Texas, hujung bulan lalu.

Catatan itu membolehkan dia mengatasi rekod 24 tahun dipegang Watson Nyambek 6.66s yang dilakukan di Kejohanan Dunia di Maebashi, Jepun pada Mac 1999.

Azeem yang berasal dari Perak kemudiannya terus cemerlang apabila berjaya memperbaiki catatan berkenaan dengan merekodkan 6.62s ketika menamatkan saingan di tempat kelima pada aksi final Kejohanan Jemputan Tiger Paw di University Clemson di South Carolina, 11 Februari lalu.

Pada Ogos tahun lalu, Azeem mencetuskan fenomena dengan memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun yang berlangsung di Cali, Colombia.

Sementara itu, bapa Azeem, Mohd Fahmi Tajuid percaya penyertaan di Kejohanan SEC itu bakal memberi pengalaman berharga buat atlet berkenaan yang akan bersaing dengan pelari bertaraf dunia dari universiti  yang lain.

“Ini adalah persidangan universiti terbesar di AS. Ramai juga atlet bertaraf dunia yang akan beraksi di kejohanan itu nanti, sudah tentu ini akan memberikan pengalaman yang berharga untuk Azeem…mohon semua doakan yang terbaik untuk Azeem,” katanya.