LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) menjangka jalinan kerjasama dengan 15 rakan penaja akan dimeterai musim ini, sekali gus menjadikan musim 2023 paling gemilang dengan pembabitan bilangan penajaan Liga Malaysia paling banyak.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, penyertaan banyak syarikat yang menunjukkan minat memberi tajaan, membuktikan pendekatan baharu operasi komersil pengelola Liga Malaysia yang dilaksanakan sejak tahun lalu, mula menampakkan hasilnya.
“AEON BiG muncul rakan penaja ke-12 musim 2023 dan akan ada lagi rakan penaja yang akan kita umumkan nanti.
“Paling dekat, mungkin kita akan umumkan Mac nanti, selain dua atau tiga lagi rundingan sesan dijalankan, saya harap kita akan capai 15 rakan penaja musim ini,” kata Stuart, dalam sidang media, selepas memeterai kerjasama MFL dengan AEON BiG Malaysia, sebagai Penaja Ekslusif Hipermarket untuk Liga Malaysia 2023.
Stuart memberitahu, perjanjian penajaan dengan AEON BiG bukan sekadar nilai kewangan atau nilai material: “Malah ia membawa nilai lebih besar apabila MFL membawa rakan penaja seperti Colgate, BubblesO2 dan Alif Cooking Oil, untuk bersama-sama berkolaborasi dalam satu ekosistem peruncitan… ia melebihi nilai fizikal.”
Sementara itu, Pengarah Urusan AEON BiG Malaysia, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, kerjasama dengan MFL untuk menaja Liga Malaysia menjadi kebanggaan pihaknya.
“Kami mahu mendekati komuniti apa lagi komuniti sukan yang paling diminati.
“Malah kami juga akan mendekati peminat bola sepak dengan melakukan aktiviti di stadium,” katanya, yang enggan mendedahkan nilai penajaan.
Untuk rekod, AEON BiG menjadi rakan penaja pasukan bola sepak Selangor FC, sukan memanah, dan ragbi selain bakal menjalin kerjasama dengab Liga Besbol Malaysia, pada Khamis.