LIMA perlawanan Pusingan Kedua Piala FA berlangsung pada Jumaat dan Sabtu minggu lalu yang menyaksikan kelima-lima pasukan pilihan layak ke peringkat suku akhir.

Sabah, Johor Darul Ta’zim (JDT), Penang FC, Melaka United FC dan Sri Pahang FC tidak mengalami masalah untuk membenam cabaran lawan masing-masing dengan aksi yang meyakinkan dan berjaya ditonton hampir 1.9 juta tontonan di platform YouTube unifi yang menyiarkan semua perlawanan secara langsung.

Perlawanan antara juara 2016, JDT dan Sarawak United FC mencatat tontonan tertinggi dengan 806,000 tontonan manakala aksi Sabah FC dan Kelantan United FC yang berlanjutan ke masa kecederaan dengan mendapat hampir 400,000 tontonan.

Pertemuan Perak FC dan Penang FC pula berjaya menarik minat 245,000 tontonan dan perlawanan di Stadium Hang Jebat antara Melaka United dan PJ City meraih 269,000 tontonan manakala perlawanan Sri Pahang dan Skuad Projek FAM-MSN ditonton 184,000 penyokong.

Angka-angka ini boleh dianggap baik kerana ramai penyokong yang masih lagi dalam ‘mood’ berhari raya dan masih ada tiga lagi perlawanan Pusingan Kedua yang bakal dilangsungkan menjelang undian peringkat suku akhir nanti.