BAKAT seorang bakat muda bola sepak, Muhammad Nurazrieman Syah Muhd Faisal mengundang perhatian Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim.
Menerusi ciapan di Twitternya, beliau yang juga Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, Nurazrieman, 12, atau lebih mesra dipanggil Jieman pernah mengikuti program Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) kendalian KBS.
“Setiap minggu saya teliti surat-surat permohonan bantuan di Pusat Khidmat. Satu permohonan menarik perhatian saya beberapa hari lepas, datangnya dari ibu bapa kepada seorang pelajar bernama Nurazrieman.
“Kebolehannya telah melayakkan beliau baru-baru ini untuk mendapat pelawaan menyertai Akademi JDT yang menjadi laluan buatnya bermain secara profesional beberapa tahun dari sekarang. Jumaat ini Jieman akan melapor diri, namun sayangnya persediaan masih belum lengkap.
“Jieman tidak datang dari keluarga senang. Ibu bapanya berniaga kecil dan bekerja sendiri. Ada kekangan kewangan yang sedikit menjejaskan persediaan Jieman untuk ke Iskandar Puteri.
“Kami mahu impian Jieman tercapai, maka kami setuju untuk bantu. Yang penting, Jieman dapat mulakan perjalanan baharu dengan hati yang lapang dan sedia beri yang terbaik untuk banggakan ibu bapanya,” ciapnya menerusi Twitter.
Setiap minggu saya teliti surat-surat permohonan bantuan di Pusat Khidmat. Satu permohonan menarik perhatian saya beberapa hari lepas, datangnya dari ibu bapa kepada seorang pelajar bernama Nurazrieman atau lebih mesra dipanggil Jieman. pic.twitter.com/N7R3twD5eH
— Adam Adli (@AdamAdli) February 22, 2023
Adam Adli berkata, sepatutnya beliau bercadang untuk menemani Jieman sendiri yang bermain di posisi tengah membeli barang-barang keperluan, termasuk pakaian dan peralatan sukan yang diperlukan.
“Atas kekangan masa, Jieman hari ini (semalam) dibawa mencari keperluan oleh pegawai-pegawai Pusat Khidmat bersama ibunya sendiri.
“Saya sempat buat panggilan video kepada Jieman tadi, sekadar untuk memberi semangat buat beliau. Semoga ada peluang untuk bertemu Jieman sendiri, kalau tidak di Hang Tuah Jaya, mungkin di Iskandar Puteri,” katanya lagi.
Adam Adli juga menzahirkan ucapan selamat maju jaya buat Jieman dan dapat membanggakan ibu bapa dan rakan-rakan yang lain.
Untuk rekod, semasa berusia 10 tahun murid Sekolah Kebangsaan Tanjong Minyak, Melaka itu sudah menunjukkan pergerakan yang amat bagus dan penuh keyakinan.